#LUAHAN HATI LELAKI PANDAMARAN TERMAKAN NASI KANGKANG HASIL BUATAN ISTERI | "Saya tak tahulah sama ada cerita nasi kangkang itu betul atau tidak, tetapi melalui pembacaan dan rujukan, saya terasa nasib diri saya sebagai suami ada kaitan dengan nasi kangkang."
#Itu permulaan cerita Saifuddin Bahari dari Pandamaran, Kelang yang kesal tidak mampu berbuat apa-apa selain mengikut sahaja apa kata isteri sejak berkahwin empat tahun lalu.
#"Usia perkahwinan kami masih muda dan kami pun masih belum dikurniakan zuriat. Tetapi selama berkahwin, saya jadi seperti pak turut yang disuruh duduk saya duduk, disuruh berdiri, saya berdiri.

#"Saya langsung tak berani bersuara dan hanya mendiamkan diri melihat perangai isteri saya memang tidak seperti isteri-isteri rakan-rakan yang begitu menghormati suami,” cerita lelaki berusia 32 tahun ini.
#Bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan, Saifuddin berkata, rumahtangganya dibina atas dasar cinta yang terjalin selama dua tahun.
#"Ketika berkawan, isteri saya merupakan seorang gadis yang penuh sopan santun dan kalau bercakap suaranya amat perlahan.
#"Memang itulah yang menjadi tarikan saya untuk menjadikan Laila suri hidup dan dia tidak menolak apabila saya menyuarakan isi hati.
#"Segalanya berjalan lancar sehinggalah tiba hari pernikahan yang disambut penuh meriah dengan dihadiri saudara mara dan sahabat handai," katanya.
#Jelas Saifuddin, dia merasakan dirinya amat bertuah kerana berjaya memiliki Laila yang disifatkan cukup sempurna sebagai isteri.
#"Kami berbulan madu di Cheng Mai, Thailand selama satu minggu dan hidup saya ketika itu amat bahagia apa lagi isteri tersayang ada bersama.
#"Saya sering berangan agar hubungan kami ini akan kekal selamanya begitu dan tidak putus berdoa agar cepat dikurniakan zuriat untuk menyerikan lagi kebahagiaan kami.
#"Malangnya, hubungan yang diharapkan itu cuma dirasai selama satu bulan sahaja selepas kami menjadi suami isteri," jelasnya.
#Menurut Saifuddin, dia tiba-tiba merasakan dirinya terlalu kecil dan semakin hari semakin takut untuk bertentang mata dengan isterinya sehinggalah ke hari ini.
#"Saya tidak diperlakukan seperti seorang suami, sebaliknya saya sering dijadikan seperti budak suruhan untuk buat itu dan ini.
#"Hairannya, saya tidak pernah membantah dan tidak boleh bersuara pun untuk mengatakan tidak pada setiap arahannya.
#"Hubungan kelamin sempat berlaku selama setahun sahaja dan selepas itu, saya tidak berupaya untuk bersamanya seperti orang hilang selera makan," ujarnya lagi sambil meneguk minuman yang dipesan.
#Saifuddin berkata, keluarganya tidak pernah tahu masalah yang dialaminya kerana Laila cukup pandai berlakon bila mereka pulang ke kampung.
#"Arwah ibu saya pernah bertanya kenapa saya seperti orang sakit dan tidak setegas dulu tetapi saya bagi alasan umur yang semakin meningkat menyebabkan perangai asal turut berubah.
#"Laila cukup baik dengan keluarga saya dan memang tidak akan nampak ada masalah dalam hubungan kami selama ini.
#"Lagi pun dia tak pernah meninggikan suara pada saya dalam keadaan apa sekali pun menyebabkan saya tidak mahu berpisah dengannya," ceritanya lagi.
#Soal makan minum kata Saifuddin, sejak mereka tidak berhubung kelamin, Laila tidak lagi menyediakan makan minumnya.
#"Sesekali kalau dia masak, pandai-pandailah saya ambil dan makan sendiri. Untuk makan bersama memang sangat jarang berlaku.
#"Sebenarnya saya tidak patut bercerita hal rumahtangga pada orang lain tetapi saya sangat tertekan memikirkan apa kesudahan nasib saya. Adakah saya dayus dan tidak layak bergelar suami?
#"Adakah benar saya termakan 'nasi kangkang' hasil perbuatan isteri sendiri menyebabkan saya sukar untuk melepaskannya?," soal Saifuddin.
#Bukan untuk menuduh isteri sendiri tetapi apa yang dibaca selama ini semakin mencelarukan fikirannya.
#Nasi kangkang bukan dongeng
#KEMAMAN - Pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi, Datuk Shamsuri Safie mendedahkan masih terdapat wanita Islam yang menggunakan nasi kangkang bukan sahaja untuk menundukkan suami, bahkan ada yang bertujuan memporak-perandakan kebahagiaan jiran tetangga seperti kes yang terjadi di Dungun.
#Shamsuri berkata, kisah nasi kangkang bukan cerita dongeng, sebaliknya sihir itu masih lagi menjadi amalan segelintir kecil wanita untuk mencapai matlamat songsang mereka.


